Satu program kepimpinan telah direka khas untuk pegawai dan kakitangan Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam (PA) bagi kategori pegawai dan kakitangan peringkat Pengurusan dan Eksekutif. Program selama enam bulan ini bertujuan untuk meningkatkan kualiti kepimpinan dikalangan pegawai dan kakitangan khususnya memberi tumpuan kepada Kemahiran Komunikasi yang Berkesan, Membuat Keputusan, Pengurusan Prestasi dan Delegasi serta Pemerkasaan.

Siri pertama latihan in-house leadership  tersebut telah diadakan di Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH pada 6hb – 8hb September 2022 bagi kategori pegawai peringkat Pengurusan dan pada 19hb – 20hb September 2022 bagi kategori pegawai peringkat Eksekutif.

Dalam ucapan perasmiannya, Yang Mulia Awang Haji Azhar bin Haji Yahya, Pengarah Urusan Sementara PA menggalakkan pegawai dan kakitangan PA agar mengambil peluang untuk terus belajar dan menaik taraf diri memandangkan pemimpin memainkan peranan yang penting dalam memberikan motivasi, membuat keputusan dan mempengaruhi orang lain untuk mencapai matlamat organisasi.

Selain itu, PA juga menyedari kepentingan dalam memastikan pembangunan kompetensi pegawai dan kakitangan PA. Ini adalah untuk mencapai potensi penuh dan membolehkan mereka untuk lebih bersedia bagi menggalas jawatan yang lebih tinggi di masa hadapan. Pembangunan kapasiti pegawai dan kakitangan PA juga penting dalam usaha untuk merealisasikan Wawasan Brunei 2035, iaitu untuk memastikan pertumbuhan bakat individu dan tenaga kerja yang berkualiti dan berkemahiran tinggi.