Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran dan Bacaan Surah Yaasin bersempena dengan ulang tahun Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam yang ke-2 sejak penubuhannya. Majlis ini telah diadakan pada 26 Januari 2022 bertempat di Dewan Bankuet, Bangunan Jabatan Perdana Menteri. Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mat Suny bin Haji Md Hussein, Menteri Tenaga selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam.

Aturcara majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah diikuti dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri Tenaga. Dalam ucapannya, Yang Berhormat Menteri Tenaga memuji dedikasi dan sumbangan semua pegawai dan kakitangan Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam dalam memastikan kesinambungan perniagaan di tengah-tengah gelombang kedua wabak COVID-19 dan menggariskan beberapa pencapaian utama dalam industri minyak dan gas sepanjang tahun 2021.

Majlis diteruskan dengan ucapan daripada Yang Mulia Awang Haji Azhar bin Haji Yahya, Setiausaha Tetap Kementerian Tenaga selaku Pengarah Urusan Sementara Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam dimana beliau juga mengulas daya tahan dan ketangkasan pegawai dan kakitangan Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam dalam mencapai kejayaan meskipun menghadapi cabaran pada tahun 2021.

Acara kemuncak utama majlis ini adalah bacaan Surah Yaasin beramai-ramai yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Alirupeman bin Haji Perudin diikuti dengan Doa Kesyukuran. Majlis ini diakhiri dengan penyampaian Employee Appreciation Award kepada 13 pegawai dan kakitangan yang telah menunjukkan sifat teladan yang cemerlang manakala 4 pegawai dan kakitangan atas sumbangan penglibatan mereka bertugas di Pusat Penyelarasan Negara bagi COVID-19.

Turut hadir ialah Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Matsatejo bin Sokiaw, Timbalan Menteri Tenaga selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah, pihak pengurusan, pegawai dan kakitangan Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam.