Pegawai dan kakitangan Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam menghadiri majlis Sambutan Maulidur Rasul Sallallahu ‘Alaihi Wassalam bagi tahun 1443H yang diadakan secara maya pada Selasa, 26 Oktober 2021 yang dikendalikan oleh Kementerian Tenaga, Jabatan dan Badan-badan Berkanun di bawahnya.

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mat Suny Bin Haji Mohd. Hussein, Menteri Tenaga dan Pengerusi Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai diikuti dengan Dhikir Marhaban yang dipersembahkan oleh kumpulan Dhikir Kementerian Tenaga bagi memeriahkan majlis tersebut. Ini diikuti dengan ceramah khas bertajuk “Rasulullah Kekasih Allah, Kekasihku Dunia Akhirat” yang disampaikan oleh Yang Mulia Ustaz Awang Mohd Khairul Nazif bin Haji Damit, Penolong Pensyarah di Fakulti Usuluddin, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).

Mesej utama ceramah ini menyentuh keperluan untuk mencontohi sifat-sifat teladan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam seperti kesabaran dan keazaman terutama ketika Negara Brunei Darussalam sedang mengalami gelombang kedua wabak COVID-19. Umat Islam diseru untuk memperbanyakkan bacaan Selawat dan aktiviti-aktiviti berkebajikan yang lain bagi menzahirkan rasa cinta kita kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat, Doa Peliharakan Sultan dan Doa Memohon Perlindungan daripada Wabak COVID-19 yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Muhammad Nazirul Rawi bin Awang Zaimin, pegawai dari Kementerian Tenaga. Acara ini merupakan sebahagian daripada acara keagamaan tahunan yang dianjurkan oleh Kementerian Tenaga, Jabatan dan Badan-Badan Berkanun di bawahnya.

Turut hadir ialah Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Matsatejo bin Sokiaw, Timbalan Menteri Tenaga, Yang Mulia Awang Haji Azhar bin Haji Yahya, Setiausaha Tetap dan Pengarah Urusan Sementara Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam, Yang Mulia Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra, Timbalan Setiausaha Tetap serta pegawai kanan, pegawai dan kakitangan dari Kementerian Tenaga, Jabatan dan Badan-Badan Berkanun di bawahnya.