Kakitangan Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam telah menghadiri Ceramah Ergonomik Pejabat dan beroleh maklumat mengenai pengenalan kepada ergonomik pejabat, yang mengenalpasti bentuk persekitaran kerja yang lebih selamat terutamanya bagi individu yang menghabiskan masa yang lama di stesen kerja. Ceramah ini adalah sebahagian daripada inisiatif bahagian HSSE, Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam untuk mencapai tempat kerja yang lebih ergonomik bagi mencegah keletihan, ketidakselesaan dan kecederaan yang berkaitan dengan kerja seperti sakit belakang, sakit kepala dan mata.

Ceramah ini telah diadakan pada hari Sabtu, 12 Jun 2021 bertempat di Bilik East Wing 1, Bangunan Jabatan Perdana Menteri. Acara dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Pg Adi Johan bin Pg Haji Annuar, Ketua HSSE, Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam dan diikuti dengan ceramah yang disampaikan oleh Yang Mulia Dayang Nurul Bazilah binti Haji Ali, Ahli Terapi Pekerjaan, Kementerian Kesihatan.

Ceramah ini mencapai objektifnya dalam:

  • Meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan Ergonomik Pejabat,
  • Berkongsi tips pencegahan keletihan utama,
  • Berkongsi nasihat langkah kawalan ergonomik pada persekitaran kerja pejabat yang membolehkan pengalaman kerja yang lebih selesa dan produktif.

Ceramah tersebut diakhiri dengan penyerahan tanda penghargaan kepada wakil dari Unit Terapi Pekerjaan, Kementerian Kesihatan (MOH).