Pegawai dan kakitangan Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam telah menghadiri taklimat sistem Cendana dan menyaksikan demonstrasi sistem oleh Dynamik Technologies Sdn Bhd sebagai persediaan untuk pelancaran Sistem Aplikasi Pengguna Layan Diri Cendana di Dewan Teater Utama, Bangunan Jabatan Perdana Menteri pada Selasa 30 Mac 2021. Sistem Aplikasi Cendana dijadualkan untuk dilancarkan bagi kegunaan Autoriti Petroleum pada hari Rabu, 31 Mac 2021.

Taklimat ini diketuai oleh Yang Mulia Dk Siti Farhana Pg Hj Putra, Pengurus Perkhidmatan Cendana dari Dynamik Technologies Sdn Bhd bersama pasukan projek Cendana.

Cendana adalah aplikasi bersepadu tunggal untuk mengendalikan proses sumber manusia, kewangan dan pengurusan perkhidmatan dan pembekalan barang-barang bagi Autoriti Petroleum. Objektif taklimat ini adalah melengkapkan pegawai dan kakitangan berkenaan dengan pengetahuan dan kemahiran sebagai aplikasi pengguna layan diri, khususnya untuk modul sumber manusia seperti pengurusan cuti, latihan dan penilaian prestasi.

Pelaksanaan sistem baru bagi Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam akan memperkemaskan kerja kerja sumber manusia, kewangan dan pengurusan perkhidmatan dan pembekalan barang-barang kearah yang lebih baik dalam operasi harian.