Kementerian Tenaga dan Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha telah menganjurkan Kempen Menderma Darah pada hari Sabtu, 11 April 2020 di Dewan Bankuet, Bangunan Jabatan Perdana Menteri.

Dengan tujuan untuk membantu mengekalkan bekalan darah negara yang berterusan dan mencukupi, acara ini telah menyaksikan sokongan dan penyertaan daripada 57 penderma yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan dari Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Tenaga, Jabatan Perkhidmatan Elektrik (DES), Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) dan Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam. Sebanyak 57 pain darah berjaya dikumpulkan pada acara ini.

Bagi memastikan keselamatan semua pihak yang terlibat, langkah-langkah penjarakan sosial seperti yang dinasihatkan oleh Kementerian Kesihatan adalah dipatuhi semasa kempen menderma darah tersebut.

Usaha ini juga adalah sebahagian daripada kempen muhibah yang berterusan daripada Kementerian Tenaga, DES, SHENA dan Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam khususnya bagi Kementerian Kesihatan dalam sama-sama membendung dan menangani penularan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.