Pada 8 November 2023, Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam (PA) dan pihak Lembaga Pembangunan Ekonomi Brunei (BEDB) telah menandatangani Perjanjian Pelaksanaan (IA) bagi Projek Kemajuan Pulau Muara Besar (PMB) Fasa Kedua dengan Syarikat Hengyi Industries Sdn Bhd (Syarikat Hengyi) di The Empire Brunei.

Hadir sebagai tetamu-tetamu kehormat di majlis tersebut adalah Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pandu Kemajuan PMB; Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II selaku Pengerusi Jawatankuasa Pandu Pelaburan Langsung Asing dan Industri Hiliran; Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, Menteri Pembangunan selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pandu Kemajuan PMB; dan Yang Mulia Mr. Qiu Jianlin, Pengerusi Zhejiang Hengyi Group Co. Ltd dan Pengerusi Syarikat Hengyi. Turut hadir pada majlis tersebut adalah ahli-ahli Jawatankuasa Pandu Kemajuan PMB.

Mewakili pihak PA bagi penandatanganan perjanjian ialah Yang Mulia Dayang Hajah Farida binti Dato Seri Paduka Haji Talib, Setiausaha Tetap (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Mulia IR. Awang Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Zakaria, Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Kementerian Pembangunan; manakala Yang Mulia Awang Daniel Leong, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, BEDB menandatangani bagi pihak BEDB. Syarikat Hengyi diwakili oleh Yang Mulia Mr. Chen Lian Cai, Ketua Pegawai Eksekutif, Syarikat Hengyi. Penandatanganan perjanjian tersebut turut disaksikan oleh Yang Mulia Awang Haji Kula bin Haji Metasan, Pemangku Pengarah Urusan PA; Yang Mulia Awang Abdurrahman bin Abdul Aziz, Penolong Ketua Pegawai Eksekutif BEDB; dan Yang Mulia Mr. Li Peng, Setiausaha Syarikat dan Pengarah Pentadbiran, Syarikat Hengyi.

Penandatanganan Perjanjian Perlaksanaan Fasa Kedua ini merupakan satu pencapaian penting dalam usaha-usaha dan komitmen berterusan Negara Brunei Darussalam untuk memperkembangkan sektor hiliran minyak dan gas di Negara ini, ke arah mendokong dan merealisasikan Wawasan 2035 dan Economic Blueprint Negara Brunei Darussalam.