Forum Perniagaan Tenaga ASEAN (AEBF) 2021 telah diadakan selaras dengan Mesyuarat Menteri Tenaga ASEAN ke-39 (AMEM) dan mesyuarat yang berkaitan dengannya bermula dari 14 hingga 16 September 2021 secara maya. Forum ini dianjurkan bersama oleh Kementerian Tenaga, Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam, ASEAN Centre for Energy (ACE) dan DMG Events.

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mat Suny bin Haji Md. Hussein, Menteri Tenaga dimana beliau menekankan kepentingan untuk mempercepatkan peralihan tenaga di rantau Asia Tenggara bagi mencapai dua sasaran utama menjelang 2025; iaitu yang pertama, untuk mengintegrasikan 23% bahagian tenaga boleh diperbaharui (Renewable Energy) dalam campuran tenaga ASEAN dan kedua, mengurangkan sejumlah 32% intensiti tenaga sebagaimana yang digariskan di bawah ASEAN Plan of Action for Energy Cooperation (APAEC) Fasa II untuk 2021 – 2025.

Yang Mulia Awang Haji Azhar Bin Haji Yahya, Setiausaha Tetap di Kementerian Tenaga dan Pengarah Urusan Sementara Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam sebagai tuan rumah bersama, menyampaikan ucaptama mengenai rancangan peralihan tenaga dan strategi petroleum Negara Brunei Darussalam. Dalam ucapannya, beliau memberi jaminan dedikasi Negara Brunei Darussalam ke arah peralihan tenaga yang mampan dengan menekankan objektif strategik lima tahun Kementerian Tenaga terhadap tenaga hijau yang bertujuan untuk mencapai keselamatan tenaga jangka panjang bagi Negara Brunei Darussalam dan persekitarannya.

Acara tiga hari itu menghimpunkan pemimpin tenaga ASEAN, cendekiawan utama industri dan pakar penggubal dasar untuk membincangkan keselamatan dan strategi tenaga sambil mempromosikan peluang pelaburan tenaga dan meningkatkan kerjasama tenaga di rantau ini dan seterusnya. Tiga tema utama untuk AEBF 2021 termasuk i) Visi Kemampanan Tenaga ASEAN, ii) Mempercepatkan Peralihan Tenaga ASEAN, dan iii) Solusi Net-Zero dan taklimat Pelaburan Negara. Disamping itu, acara ini menampilkan pameran maya yang mempamerkan lebih daripada 50 pameran tempatan, serantau dan antarabangsa.

Kemuncak AEBF 2021 adalah Dialog Menteri – Ketua Pegawai Eksekutif yang menghimpunkan Menteri-Menteri dan pemimpin-pemimpin kanan dari negara-negara anggota ASEAN serta Ketua Pegawai Eksekutif dari pelbagai syarikat tenaga untuk perbincangan mengenai topik peralihan tenaga ASEAN, penyahkarbonan dan teknologi inovatif yang baru muncul dalam memenuhi matlamat net-zero.

AEBF merupakan forum tahunan yang membolehkan para penggubal dasar ASEAN mempamerkan kerangka aspirasi tenaga nasional dan membincangkan bagaimana mereka boleh bekerjasama dengan perniagaan untuk merealisasikan matlamat ini, sekaligus berfungsi sebagai platform yang sempurna untuk memupuk misi pelaburan dalam negara, pertemuan dua hala antara pemilik projek, pelabur dan rakan solusi tenaga bersepadu.