Sejak penemuan minyak pada tahun 1929, industri minyak dan gas telah berkembang dan pertumbuhan yang kukuh untuk menjadi sektor ekonomi terbesar dan paling matang di Negara Brunei Darussalam. Ia menyumbang hampir 60% kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan 90% daripada eksport pada 2019. Kementerian Tenaga telah memainkan peranan penting dalam pembangunan rizab hidrokarbon sebagai sumber pendapatan utama negara. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, industri minyak dan gas telah menyaksikan pencapaian utama terutamanya dalam meningkatnya aktiviti dan kepelbagaian sektor hiliran. Selaras dengan Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-71, dimana Baginda menekankan perlunya usaha yang berterusan untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi melalui Pelaburan Langsung Asing (FDI) dan pertumbuhan pengusaha-pengusaha kecil dan sederhana (MSMEs). Demi mencapai pertumbuhan ekonomi, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam turut menekankan kerjasama yang lebih erat diantara sektor awam dan swasta. Oleh itu, ini telah menjadi salah satu misi utama Kementerian Tenaga.

Pembangunan projek hiliran yang paling penting baru-baru ini adalah operasi komersial penuh Loji Penapisan Minyak dan Petrokimia Pulau Muara Besar (PMB) pada November 2019. Loji Penapisan Minyak dan Petrokimia PMB adalah projek pelaburan langsung asing yang terbesar di Negara Brunei Darussalam, dengan kapasiti pengeluaran sekitar 175,000 tong minyak mentah sehari dan menjana 8 juta tan produk petroleum dan petrokimia setahun. Pada 15 Mei 2020, Hengyi Industries Sendirian Berhad, sebagai pengendali loji penapisan dan petrokimia, memulakan bekalan produk petroleum pertamanya untuk pasaran domestik sebagai sebahagian daripada perjanjian komersialnya yang ditandatangani dengan Brunei Shell Marketing Company Sendirian Berhad (BSM). Ini akan meningkatkan sara diri yakni self-sufficiency dan menjaminkan bekalan produk petroleum yang stabil untuk negara.

Kearah pengembangan sektor tenaga hiliran dan menerokai peluang dalam tenaga alternatif, Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian tenaga menjadi rakan kongsi bersama Negara Jepun bagi Projek Rangkaian Bekalan Hidrogen Global yang dikenali sebagai Advanced Hydrogen Energy Chain Association for Technology Development (AHEAD).

Bertujuan untuk merealisasikan teknologi pengangkutan dan bekalan hidrogen global untuk penjanaan kuasa hidrogen berskala penuh menjelang 2030, projek ini telah mencapai kejayaan selepas berjaya mengangkut hidrogen yang dihasilkan dari Taman Perindustrian Sungai Liang (SPARK) ke Jepun dalam bentuk sebatian organik yang stabil melalui pengangkutan konvensional merentas laut, sejak Disember 2019. Hidrogen ini berjaya diekstrak dan dibekalkan kepada Loji Janakuasa Jepun pada 25 Mei 2020. Pencapaian yang penting ini menandakan kejayaan rantaian bekalan hidrogen global pertama di dunia.

Tambahan lagi, loji pengeluaran ammonia dan urea dari Brunei Fertilizer Industries juga akan menambah lagi pengeluaran sektor tenaga hiliran negara. Pada tahun 2019, pembinaan projek ini menjana pekerjaan tempatan sebanyak 411 orang. Loji ini akan mula beroperasi memulakan pada suku kedua 2021 dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 3,900 tan metrik urea sehari.

Dalam memastikan pembangunan sektor tenaga negara, Kementerian Tenaga komited untuk memaksimumkan peluang untuk anak tempatan. Dengan visi sektor tenaga yang mampan dan berpelbagai bagi pertumbuhan dan kemakmuran Negara Brunei Darussalam, Kementerian Tenaga telah melaksanakan beberapa arahan dan inisiatif. Kementerian Tenaga telah mengeluarkan Arahan “Local Business Development (LBD)” yang bertujuan untuk memaksimakan kandungan perbelanjaan tempatan dan membukakan peluang-peluang untuk perusahaan-perusahaan tempatan dengan menetapkan kadar minima pengambilan pekerja tempatan serta pembelian barangan dan perkhidmatan tempatan. Pada tahun 2019, beberapa peluang pekerjaan yang dipacu oleh Kementerian Tenaga telah dilaksanakan, menyumbangkan kepada 300 peluang pekerjaan untuk anak tempatan.

Arahan Bruneianisation bagi sektor minyak dan gas juga dikeluarkan untuk meningkatkan rancangan penggantian iaitu ‘succession planning’, perkembangan kerjaya dan peluang pekerjaan untuk rakyat Negara Brunei Darussalam, sambil meningkatkan kemahiran anak tempatan di semua peringkat organisasi. Keseluruhan jumlah anak tempatan dikalangan pengendali minyak dan gas yang dilaporkan pada Disember 2019 berada di peringkat 70%.

Pembangunan sektor hiliran di masa depan dan aktiviti huluan yang berterusan akan membawa kemahiran dan teknologi baru kepada tenaga kerja dan pasaran di Negara Brunei Darussalam. Kementerian Tenaga telah menggerakkan anak tempatan dalam tenaga kerja melalui usaha kerjasama antara pelbagai Kementerian dan agensi, seperti Majlis Perancangan Tenaga Manusia dan Pekerjaan (MPEC), Kementerian Pendidikan (MOE), wakil industri dan pihak berkepentingan yang lain untuk memenuhi permintaan tenaga kerja yang besar ini. Aktiviti minyak dan gas lain yang akan datang termasuk meningkatkan aktiviti eksplorasi di Negara Brunei Darussalam.

Tahun lalu juga telah menyaksikan penubuhan Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam pada 31 Disember 2019, dimana ia adalah sebuah badan berkanun yang ditugaskan oleh Kementerian Tenaga dalam pengawalseliaan sektor huluan, pertengahan dan hiliran industri minyak dan gas. Penubuhan Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam berfungsi sebagai langkah kearah mengukuhkan lagi pematuhan industri bagi memastikan penggunaan dan pembangunan sumber minyak dan gas negara yang berhemah dan mampan untuk industri minyak dan gas yang lebih berdaya tahan dan stabil.