Kementerian Tenaga, Jabatan dan Badan-Badan Berkanun di bawahnya telah mengadakan Majlis Korban sempena Hari Raya Aidil Adha bagi tahun 1441 Hijrah/2020 Masihi. Dianjurkan bersama oleh Unit Perancangan Strategik Kementerian Tenaga dan Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA), acara itu diadakan di Dewan Persidangan East Wing, Kompleks Bangunan Jabatan Perdana Menteri. Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Matsatejo bin Sokiaw, Pemangku Menteri Tenaga.

Turut hadir juga ialah Yang Mulia Awang Haji Azhar bin Haji Yahya, Setiausaha Tetap (Tenaga), Yang Mulia Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra, Timbalan Setiausaha Tetap (Tenaga dan Kuasa Elektrik), pegawai dan kakitangan dari Kementerian Tenaga, Jabatan Perkhidmatan Elektrik, SHENA dan Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam.

Majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah dan takbir hari raya yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Morni bin Haji Nayan, Pegawai Hal Ehwal Masjid di Masjid Pengiran Muda Abdul Malik. Majlis seterusnya menyempurnakan pengagihan daging-daging korban kepada 20 penerima yang terdiri daripada kalangan warga Kementerian, Jabatan dan Badan-Badan Berkanun di bawahnya dan Asnaf dari Mukim Berakas. Baki daging korban turut dihantar ke rumah 65 orang Asnaf yang lain.

Sebanyak 3 ekor kerbau telah disumbangkan dan dikorbankan untuk majlis tersebut. Majilis ini telah diadakan dengan mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan untuk mencegah penularan wabak COVID-19.