Menyahut Cabaran:

Tindak Balas Autoriti Petroleum terhadap COVID-19

Ketika negara kitani mengharungi pandemik COVID-19, bagi pihak pengurusan Autoriti Petroleum, saya ingin mengucapkan terima kasih yang tulus ikhlas atas kerja keras dan dedikasi yang ditunjukkan oleh petugas barisan hadapan di semua sektor serta pegawai dan kakitangan Autoriti Petroleum dalam melindungi kesihatan pegawai dan kakitangan Autoriti Petroleum dan komuniti disamping memastikan kesinambungan Business Continuity Plan dalam bersama menangani COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.

Haji Azhar bin Haji Yahya,
Pengarah Urusan Sementara

Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam komited dalam menyertai inisiatif-inisiatif menangani pandemik COVID-19 yang telah membawa cabaran dan halangan baharu dan telah mengubah kehidupan normal dan memaksa kita semua untuk menjadi lebih berdaya tahan dan inovatif dalam pendekatan untuk bertindak balas terhadap perubahan ini. Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam berpegang teguh pada komitmennya untuk memelihara nilai yang dicipta daripada industri minyak dan gas di Negara Brunei Darussalam sambil mengekalkan keselamatan dan kesejahteraan rakyat, komuniti dan operasi dengan mematuhi arahan dan garispanduan yang ditetapkan oleh pihak berkepentingan di Negara Brunei Darussalam.

Melindungi Pegawai & Kakitangan Kami

Di Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam, kecemerlangan organisasi didorong oleh dedikasi dan komitmen pegawai dan kakitangan kami. Sejak penularan wabak COVID-19 di negara ini pada awal Mac 2020, sebagai sebahagian daripada Business Continuity Plan (BCP), Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam proaktif dalam memastikan kesihatan dan keselamatan pegawai dan kakitangan kami serta keluarga dengan mengambil langkah yang perlu untuk mengurangkan risiko pendedahan dan penularan wabak COVID-19.

Memastikan Kesinambungan Perniagaan dalam Operasi Kami

Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam memainkan peranan penting sebagai pengawalselia negara dalam menyokong industri minyak dan gas pada masa yang mencabar ini.

Pasukan Petugas Sektor Tenaga telah membolehkan Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam berkerjasama rapat dengan Jabatan Tenaga, pengendali minyak dan gas dan pihak berkepentingan untuk memastikan Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam dapat melaksanakan strategi dan tindakan yang bersesuaian dan berkesan dalam meneruskan operasi minyak dan gas di Negara Brunei Darussalam sambil mengekalkan pematuhan kepada arahan dan garispanduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa yang berkenaan.

Tanggungjawab Sosial Masyarakat

Semasa penularan pertama wabak COVID-19 berlaku di Negara Brunei Darussalam pada Mac 2020, Projek Muhibah COVID-19 PA (PA COVID-19 Goodwill Project) telah ditubuhkan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam untuk membantu Kementerian Kesihatan serta masyarakat yang terjejas oleh wabak ini. Projek ini dibiayai oleh Dana Muhibah COVID-19 PA, sumbangan ikhlas daripada pengurusan, pegawai dan kakitangan Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam kepada petugas barisan hadapan dan sukarelawan yang bekerja keras dengan penuh dedikasi.

Pada tahun 2020 dan tahun 2021, Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam telah menyumbangkan lebih daripada BND6,000 sumbangan berbentuk barangan seperti Peralatan Pelindung Diri (PPE), pakej penjagaan pesakit, mesin basuh, pembersih udara, dan keperluan lain untuk pekerja barisan hadapan dan sukarelawan belia yang bekerja di Pusat Pengasingan Kebangsaan (NIC), pusat kuarantin, hospital, klinik dan pusat vaksinasi di seluruh negara.

Pada tahun 2021, Authoriti Petroleum Negara Brunei Darusaalam bersama-sama dengan Jabatan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Perkhidmatan Elektrik dan Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) turut menyokong Kementerian Kesihatan di Pusat Penyelarasan Kebangsaan dalam menangani wabak COVID-19 di negara ini.

Sejak 2020, Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam komited dalam membantu komuniti dan individu yang terjejas akibat wabak ini dengan menghulurkan bantuan dalam bentuk keperluan harian kepada lebih 140 keluarga di ke empat-empat daerah. Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam juga telah mengambil bahagian dalam “Projek Infaq Kasih Ramadhan” anjuran Jabatan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri dengan menghulurkan sumbangan khusus kepada 60 keluarga yang kurang berkemampuan bersempena sambutan bulan Ramadhan. Inisiatif ini diharap akan dapat meringankan beban mereka di bulan Ramadhan disamping menggalakkan warga kerja untuk menjadi proaktif dalam melangkaui skop kerja masing-masing untuk membantu mereka yang memerlukan.

Dalam menyokong usaha Pusat Pendermaan Darah, Perkhidmatan Makmal Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) untuk meningkatkan bekalan darah yang berterusan dan mencukupi untuk negara, Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam juga telah menganjurkan kempen derma darah dan sebanyak 57 pek darah telah berjaya dikumpul sejak penubuhan Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam.

Ikrar Kami

Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam menyahut cabaran dan kerumitan yang dibawa oleh pandemik COVID-19 dan berdiri bersama Jabatan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri serta semua pengendali minyak dan gas di negara ini untuk terus memainkan peranan kami dalam menjaga nilai khazanah negara dengan mengekalkan bekalan minyak dan gas yang tidak terganggu dan boleh dipercayai untuk memacu negara tanpa menjejaskan kesihatan dan keselamatan semua petugas barisan hadapan, masyarakat dan operasi.

Dalam menghadapi masa yang mencabar ini, Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam kekal berdaya tahan dan tangkas dalam bertindak balas terhadap keadaan pasaran yang tidak menentu dan kekal teguh dalam mencapai misi kami untuk memaksimumkan nilai yang dicipta daripada rantaian nilai penuh.

Kami ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tulus ikhlas kepada semua petugas-petugas barisan hadapan yang berdedikasi dan petugas-petugas kritikal yang bekerja tanpa jemu semasa pandemik COVID-19. Marilah kita bersatu padu dalam menangani bagi membendung penularan wabak COVID-19 di negara ini – #teranahdirumah, amalkan penjarakan sosial dan sentiasa menggunakan sungkup muka apabila anda berada di tempat awam.