Semenjak pengeluaran minyak komersial pertama pada tahun 1929, industri minyak dan gas di Negara Brunei Darussalam telah menyaksikan perkembangan yang menyumbang secara signifikan kepada ekonomi negara. Pada masa ini, industri minyak dan gas telahpun memberikan lebih 19,000 peluang pekerjaan bagi anak tempatan dan menyumbang kepada 60% daripada jumlah nilai barangan dan perkhidmatan yang dikeluarkan di Negara Brunei Darussalam. Dengan kemajuan teknologi, usaha-usaha sedang dirancang dan dilaksanakan untuk meningkatkan pengeluaran minyak dan gas yang sedia ada. Pada masa yang sama, garispanduan dan peraturan yang berkesan turut dikuatkuasakan untuk mencapai pengeluaran minyak dan gas yang mampan.

Dalam mengiktiraf kepentingannya, Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam (PA) telah menganjurkan Simposium Tenaga pada hari Khamis, 16 Jun 2022 di Dewan Musyawarrah, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas sempena Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei 2022 (Brunei MYCE 2022) semasa Minggu Tenaga. Simposium Tenaga ini diadakan secara hybrid dan dihadiri oleh agensi kerajaan, syarikat-syarikat pengendali minyak dan gas, syarikat-syarikat kontraktor serta institusi-institusi pengajian tinggi. Hadir selaku Tetamu Kehormat bagi merasmikan Simposium Tenaga tersebut ialah Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Matsatejo bin Sokiaw, Timbalan Menteri, Jabatan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri.

Empat tajuk telah dibincangkan semasa acara Simposium Tenaga tersebut iaitu:

  1. Dialog Ketua Pegawai Eksekutif Masa Depan Sektor Tenaga di Negara Brunei Darussalam;
  2. Ketahanan kepada Norma Baharu;
  3. Menceburi Peralihan Tenaga; dan
  4. Mempersiapkan Anak Tempatan di Sektor Tenaga.

Menyampaikan ucaptama secara atas talian semasa sesi pembukaan Simposium Tenaga ialah Profesor Hidetoshi Nishimura, Presiden Institut Penyelidikan Ekonomi untuk ASEAN dan Asia Timur (ERIA). Simposium Tenaga berkenaan membawakan perbincangan dan perkongsian pandangan mengenai cara membentuk masa depan baru bagi industri minyak dan gas di Negara Brunei Darussalam termasuklah transformasi digital, peralihan tenaga, peluang pekerjaan bagi anak tempatan serta cabaran yang dihadapi oleh industri minyak dan gas semasa pandemik COVID-19. Perbincangan interaktif semasa Simposium berkenaan juga menggariskan kepentingan usaha kerjasama diantara agensi-agensi tempatan, serantau dan antarabangsa dalam mempromosikan dan menerapkan pendekatan-pendekatan asas dalam usaha bagi memenuhi aspirasi ke arah masa depan tenaga yang lebih berdaya tahan.

Seramai 230 peserta turut hadir pada Simposium Tenaga tersebut. Peserta yang hadir secara fizikal berpeluang menjalinkan hubungan rangkaian dan bertukar buah fikiran dengan para profesional, penceramah pakar subjek dan pemimpin dari pelbagai bidang. Simposium Tenaga juga mengalu-alukan penyertaan orang ramai secara atas talian dan juga secara siaran langsung melalui media sosial.

Turut hadir ialah Yang Mulia Awang Haji Azhar bin Haji Yahya, Setiausaha Tetap, Jabatan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri dan Pengarah Urusan Sementara Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam; Yang Mulia Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra, Timbalan Setiausaha Tetap, Jabatan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri, pegawai-pegawai kanan kerajaan, pengarah-pengarah dan pegawai-pegawai daripada sektor swasta dan awam.