BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 5 Mac 2026 – Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam (PA) menganjurkan PA Projek Amal Ramadhan bagi menyantuni masyarakat di Kampong Menunggol, dengan penyampaian sumbangan kepada 30 individu kurang berkemampuan.
Program bermula di Bangunan Bahirah dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan taklimat keselamatan. Rombongan seterusnya bergerak ke jeti bagi perjalanan ke Menunggol.
Setibanya di kampung berkenaan, rombongan PA berkumpul di Masjid Kampong Menunggol bagi majlis penyampaian sumbangan kepada para penerima. Sumbangan berupa barangan keperluan asas tersebut adalah hasil sumbangan warga kerja PA serta kutipan daripada PA Charity Car Boot Sale yang telah diadakan pada awal Februari lalu.
Inisiatif berkenaan adalah sebahagian daripada PA Wellness Programme di bawah domain Social and Community Well-Being, yang menekankan usaha berterusan dalam menyokong kesejahteraan masyarakat dan memperkukuhkan hubungan kemasyarakatan.
PA berharap inisiatif tersebut akan dapat meringankan beban penerima serta mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara organisasi dan komuniti setempat. Sementara itu, PA turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan.










