Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran sempena ulang tahun penubuhannya yang pertama. Majlis ini telah diadakan pada 20 Februari 2021 bertempat di Dewan Bankuet, Kompleks Bangunan Jabatan Perdana Menteri.

Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussein, Menteri Tenaga selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Autoriti Petroleum. Juga turut hadir ialah Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Matsatejo bin Sokiaw, Timbalan Menteri Tenaga selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Autoriti Petroleum; Yang Mulia Awang Haji Azhar bin Haji Yahya, Setiausaha Tetap Kementerian Tenaga sebagai Pengarah Urusan Sementara Autoriti Petroleum; pegawai dan kakitangan Autoriti Petroleum.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan penubuhan Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam pada 31 Disember 2019 untuk mengukuhkan pengawalseliaan sektor minyak dan gas. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam Titah Baginda sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda yang ke-74 telah menekankan pencapaian yang besar dalam sektor tenaga hiliran negara terutamanya dengan pengoperasian komersial penuh loji penapisan minyak dan petrokimia di Pulau Muara Besar dan pembinaan Loji Ammonia dan Urea – Brunei Fertilizer Industries. Selaras dengan Titah Baginda, Autoriti Petroleum akan terus membangunkan sektor minyak dan gas dan memastikan sumber hidrokarbon Negara Brunei Darussalam serta rantaian nilai penuh sektor minyak dan gas dimaksimumkan untuk mengukuhkan lagi kedayatahanan ekonomi negara.